Perasan tak, dalam Google's Ads., ada link "Saya benci hidupku"? Kelakar, okay? Baiklah, sebenarnya saya nak bercerita mengapa saya benci hari ini.
Saya benci hari ini kerana...
... gigi kebijaksanaan (wisdom tooth) saya mahu keluar dari gusi dan memberikan saya rasa kesakitan yang amat dahsyat. Amat, amat dahsyat. Semalam saya telah berjumpa dengan doktor gigi kegemaran saya di Bangsar. Sebenarnya sebelum itu saya telah membuat percubaan untuk berjumpa dengan doktor gigi kerajaan sahaja (saya teringat pada Mektwain ketika menaip) kerana kliniknya lebih dekat dengan rumah saya. Akan tetapi lawatan saya itu hanya membuatkan kesakitan saya bertambah hebat kerana Si Penjaga Kaunter amat tidak ramah dan seolah-olah memperkacangkan kesakitan saya. Lalu saya pun naik berang, saya terus menelefon klinik di Bangsar itu. Hati (atau mungkin juga sedikit kesakitan) saya terubat dek keramahan kakak yang menjaga kaunter klinik tersebut. Saya pun zassss ke klinik di Bangsar itu.
Tiba di sana, giliran saya tiba dengan pantas (saya telah melangkau 2 pesakit/pelanggan yang tiba sebelum saya). Bertambahlah lagi 'markah Brownie' doktor gigi yang satu ini. Doktor menasihatkan supaya gigi kebijaksanaan saya itu dicabut. Saya pula berasa terketar semasa doktor menyatakan perkara itu. Tetapi, doktor tidak mencabut gigi saya semalam, sebaliknya beliau meminta supaya datang semula ke kliniknya pada hari Isnin ini setelah saya menghabiskan antibiotic.
Hari ini baru hari kedua saya memakan ubat-ubatan yang diberikan (termasuk pembunuh kesakitan) - masih tiada perubahan. Itulah sebabnya mengapa saya benci hari ini.
... saya diberi tugas untuk mencari beberapa barang untuk kenduri kahwin adik saya nanti. Mula-mula saya ke Tesco, barang tersebut tiada. Saya ke Carrefour pula, pun tiada. Akhirnya, apa yang saya dapat (beli) ialah solution (apakah solution dalam Bahasa Melayu?) untuk kanta lekap saya. Saya pun pulang.
Dalam perjalanan ke rumah saya, di MRR2, saya telah (secara tidak sengaja) melanggar sebiji batu (munkin konkrit) yang agak besar jugalah (mungkin sebesar S30 - maaf, saya tidak boleh memikirkan benda lain). Kereta saya masih boleh bergerak, cuma saya dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kereta saya. Lalu saya pun pull over (apakah pull over dalam Bahasa Melayu?) lebih kurang 100m dari tempat asal kejadian yang tidak diingini itu. Saya periksa tayar depan kereta saya - tiada apa-apa. Saya lihat tayar belakang - nah, itu dia, pancit/leper!
Dalam saat yang sama juga saya menelefon AAM yang jahanam itu. Kenapa jahanam? Kerana suara Si Penjawab Panggilan seperi seorang yang baru bangun dari tidur dan seperti malas mahu melayan penggilan saya. Saya sangat pantang kalau Penjawab Panggilan (mana-mana tempat pun) berperwatakan sebegitu. Sudahlah saya bayar untuk perkhidmatan AAM selama setahun dan dalam kesusahan, boleh pulak dia jawab telefon macam nak taknak? Saya sumpah AAM.
Bantuan dikatakan akan tiba di tempat kerosakan lebih kurang 45 minit dari panggilan dibuat. Saya tercongok di tempat itu dengan anak saya dan sepupu saya selama 1 jam 15 minit. Itupun tak tahulah kalau bantuan tiba kerana saya menelefon semula Pusat Khidmat Pelanggan AAM, atau memang dah nak sampai. Nak marah mekanik yang tiba itu pun, tak patut. Saya rasa memang salah AAM secara keseluruhannya. Saya sumpah AAM sekali lagi. Itulah sebabnya saya benci hari ini.
Sebentar lagi saya mahu membawa kereta saya ke kedai tayar. Alang-alang dah bocor satu, biar saya tukar keempat-empat sekali. Rasakan tayar baru keretaku!
... Setibanya saya di rumah, saya terus mencuci vontot anak saya. Ya, kawan-kawan dia sempat meninggalkan mengeluarkan tanda kenangan semasa kereta saya mengalami tayar leper tadi. Adoi, Tuhan ajelah yang tahu azab derita yang kami tanggung sepanjang perjalanan ke rumah tadi. Saya berulang kali memerli anak saya "Apa yang busuk ni, Sofea?" :D.
Setibanya saya di rumah juga, saya terlihat akan email-email yang saya terima pada hari ini. Sangat menyakitkan kepala saya. Saya benci hari ini dan juga pejabat saya yang keji itu!