Friday, December 5, 2008

Puaka Niyang Rapik Yang Merepek

Malam tadi, kemarahan saya (terhadap apa pun saya kurang pasti) semasa cerita Puaka Niyang Rapik ditayangkan di TV3 membuak-buak.

Apa perasaan anda sekiranya anak anda yang berusia 2 tahun berasa takut menonton kandungan (merepek dan merapu) yang terdapat dalam cerita tersebut? Saya berasa sedih. Sedih kerana anak saya yang tidak tahu apa-apa tentang kewujudan elemen-elemen merepek ini berada dalam ketakutan. Boleh bayangkan? Benda yang tak sepatutnya kita takut, dia takut.

Bayangkanlah, saya terpaksa menipu anak saya dengan mengatakan bahawa seseorang dalam cerita itu makan tulang ikan sampai tercucuk mulut. (Kalau anda ada menonton, saya sebenarnya merujuk kepada watak hantu dalam cerita itu yang giginya panjang dan jongang).

Saya juga terpaksa menipu anak saya dan membuat/mencipta moral (yang saya dapat daripada cerita itu) sendiri dengan mengatakan "Kalau tak sikat rambut, nanti rambut Sofea jadi macam Nenek merepek tu".

Baguskah begitu? Tapi secara tidak langsung, saya juga mungkin berpotensi untuk menerbitkan cerita-cerita merepek kerana saya boleh mencipta moral daripada setiap kemerapuan.

Saya juga musykil dan tidak faham KENAPA unsur-unsur tahyul ini kerap sangat ditayangkan di TV3 dan mungkin juga Astro Ria (tiada anonymous lagi). Adakah dengan menyuap masyarakat Malaysia (mungkin Melayu sahaja) dengan hiburan-hiburan berunsurkan tahyul dapat memajukan lagi minda masyarakat?

Apakah penerbit/media/atas-daripada-media fikir yang masyarakat akan dapat berfikir dan mencari sebab-sebab mengapa hantu itu wujud (hantu tidak wujud sebenarnya) dan mengaitkannya dengan ilmu-ilmu yang dipelajari? Saya rasa tidak. Kerana saya pasti rata-rata masyarakat hanya akan lebih berasa takut, atau tidak mempunyai apa-apa perasaan, atau paling tidak, tidak mahu keluar rumah pada hari Khamis malam Jumaat kerana hendak menonton cerita merepek ini.

Pada pendapat saya, agak sia-sia juga lah membikin/menyiar/menonton cerita-cerita sebegini kerana bagi saya, ia tidak membawa apa-apa kebaikan.