Monday, January 12, 2009

Saya Ada Cerita Lagi


Yang budak kecil yang duduk di atas pelamin itu, adalah Sofea. Cuba lihat, dia cuba untuk mimick pengantin yang kena lap peluh - tapi dia lap sendiri je.

Okay, entry kali ini tiada kaitan dengan gambar pelamin tersebut. Saya cuma nak berkongsi bahawa anak-anak kecil SANGAT MUDAH MENANGKAP apa yang orang dewasa di sekeliling mereka lakukan.

Suatu malam, saya sudah mati akal bagaimana hendak menyuruh Sofea tidur. Jadi saya pun berkata, "Kalau Sofea tak tidur, nanti mata Sofea merah macam mata monster". Dia pun tutup mata dan tidak berapa lama selepas itu terus terlelap sehingga keesokan harinya.

Pada suatu petang yang lain pula saya menemani Sofea menonton cerita ermmm,... tak ingat mungkin Uruturaman Moebius. Ada lah satu raksasa ni, sedang mengganas terhadap Uruturaman, matanya merah menyala. Saya pun cuba nak highlightkan kepada Sofea (dengan niat jahat untuk menakut-nakutkannya). Tapi...





























Sofea membalas dengan muka penuh tanda tanya, "Dia tak tidur ke Mama?"

*PANGGGGGGGGGG!*

Dalam hati saya, saya merasakan Sofea cuba mengenakan saya. Tapi sebenarnya, dia hanya cuba mengaitkan apa yang saya ajarkan kepadanya sebelum ini.

Jadi, banyak perkara yang boleh dijadikan iktibar di sini:

Pertama, jangan cuba berniat jahat mahu mengenakan anak sendiri.

Kedua, berilah contoh yang terbaik terhadap anak-anak - kalau nak suruh mereka tidur awal, maka ibu bapa pun tidurlah awal, kalau nak suruh mereka makan sayur, maka ibu bapa pun makanlah sayur.

Ketiga, carilah alasan yang lebih baik (dan lebih saintifik) untuk anak-anak melakukan sesuatu yang kita mahu mereka lakukan.

Saya hanya mampu menulis 3 iktibar sahaja di sini. Yang lain-lain mungkin boleh dikongsi di ruangan komen.