Sila baca tajuk seperti dalam iklan tilam IKEA. Dia yang saya maksudkan tak lain dan tak bukan ialah anak saya, Sophia.
Petang semalam, lebih kurang pada waktu yang sama, anak saya bepeleseran di dalam rumah. Waktu tidur siangnya telah lama berlalu - saya tanya cikgu sekolahnya, waktu tidur Sophia ialah sekitar pukul 1 tengahari. Sekarang sudah pukul 3.30 petang.
Dia mahu memakai losyen, saya bagi.
Dia mahu menyuluh sesuatu di bawah kereta sewaktu matahari terang benderang, saya bagi.
Dia mahu main game di komputer (lama) saya, saya bagi.
Dia kacau Atoknya tidur, saya marah.
Dia mahu losyen lagi sekali, saya tak bagi.
Dan dari situlah bermulanya paksaan saya. Saya mengarahkan dia baring di sisi saya. Saya mengarahkan dia menutup mata dengan amaran kena kurung dalam bilik air sekiranya dia membuka mata.
Tak sampai 10 minit, dia sudah tidur lena... Mungkin kaedah paksaan itulah kaedah yang paling efektif untuk anak saya. Tapi kalau ada orang lain yang cuba guna kaedah ini ke atas anak saya, orang itu yang saya kurung dalam bilik air nanti. :P