Hujan turun dengan lebat, dan saya pulang dari pejabat agak lewat kerana tidak mahu terkandas dalam kesesakan jalanraya selama 2 jam untuk perjalanan sejauh 16km.
Jadi semalam, dalam pukul 7 malam (lewatkah itu, kawan-kawan?), saya pun beredar meninggalkan pejabat keji ini. Jalan tidaklah sesesak yang saya jangkakan, tetapi, untuk tidak mengambil risiko kesesakan di Jalan Sg Besi – Jalan Tun Razak, saya pun menggunakan SMART Tunnel (yang pada mulanya saya jangkakan ditutup kerana hujan sangat lebat petang semalam).
Akan tetapi, ketika saya sangat hampir untuk memasuki terowong bijak itu, papan kenyataan LED menyatakan “TRAFIK PERLAHAN DI SUSUR JALAN SULTAN ISMAIL” (atau yang sewaktu dengannya – saya tidaklah ingat ayat sebenar). Apa yang saya ingin tekankan ialah, kenapa papan kenyataan itu diletakkan sangat-sangat hampir dengan pintu masuk terowong? Saya tahu saya rabun, tetapi semalam saya ada memakai contact lens saya. Takkan lah saya perlu memakai contact lens yang mempunyai kuasa seperti teropong di mana saya boleh membaca kenyataan terowong itu dari jarak 100m?
Jadi, jika ada kesesakan dalam terowong, adakah pengguna harus terpaksa menggunakan terowong juga? Apa gunanya ada papan kenyataan? Atau paling tidak, sia-sialah otak yang ada pada setiap manusia yang boleh berfikir sudah terfikir untuk tidak menggunakan jalan yang sudah diketahui mengenai kesesakan di hadapan.
Pada pendapat saya, papan kenyataan seharusnya diletakkan di tempat di mana pengguna masih boleh sempat membuat diversion, bukannya betul-betul di atas pintu terowong. Kalau diletakkan di atas pintu terowong, kenyataan tersebut seharusnya berbunyi “KESESAKAN DI HADAPAN, SILA GUNAKAN TEROWONG SMART KERANA KAMI MAHUKAN WANG ANDA. HAHAHA”