Sudah beberapa malam anak saya batuk-batuk dan pasti akan termuntah di tempat tidur (tempat tidur saya dan suami saya juga). Jadi, dengan rasa letih, penat dan perasaan geram yang terpaksa dipendam (nak buat macam mana, bukan salah anak saya nak termuntah), kami terpaksa menukar dan mencuci cadar dan comforter selama dua hari berturut-turut. Itupun, kami bernasib baik kerana kami hanya perlu menukar cadar SEKALI untuk setiap malam sahaja (pernah kami menukar cadar sebanyak 3 kali dalam satu malam).
Jadi malam tadi, suami saya mencadangkan anak saya supaya beliau tidur sendirian di tilam di atas lantai.
“Sofea, Sofea tidur bawah ya? Sofea dah besar, kan? Lagipun nanti Sofea muntah lagi”.
Sofea terdiam seketika. Pada masa yang sama, saya pula terasa sayu apabila anak saya disuruh tidur di atas lantai. Dan saya juga merasakan yang Sofea terasa seperti disisihkan kerana beliau asyik termuntah. KESIAN tak, bila memikirkan sekiranya Sofea terfikir sebegitu? KESIAN tau. Kalau saya berada di tempatnya, saya akan rasa saya terbuang. Kuang kuang kuang….
Sofea membalas (setelah diam untuk beberapa detik), “Tak nak”.
Suami menggunakan kaedah reverse psychology dengan berkata, “Takpe lah, biar Abah tidur kat bawah sorang-sorang”.
Tetapi Sofea tetap mendampingi saya untuk beberapa minit sehingga saya tidak larat untuk melayan celotehnya. Mama sakit tekak, Sayang.
Tidak beberapa selepas itu, Sofea pun menawarkan diri untuk tidur di bawah bersama bapanya. KESIAN…. (untuk kesekian kalinya).
Sofea, ketahuilah, makmu ini sememangnya seorang yang emo.